welcome

Sunday 10 June 2012

40 Hadis Tentang Peristiwa Akhir Zaman


40 Hadith tentang Peristiwa Akhir Zaman ini dipetik dari buku yang telah di susun oleh
Al-Fadhil Ustaz Abu Ali al-Banjari an-Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam) untuk renungan
kita bersama.
Insya'allah dengan berkat keinsafan kita, dapat kita mengambil iktibar dengan kejadian
masa kini, mudah-mudahan ia membawa petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
Terbitan : Khazanah Banjariyah , Derang, Pokok Sena, Kedah Darul Aman, 1998


40 HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN_________________________________________



Kandungan
HADIS 1: TAKWA DAN PERPADUAN ASAS KESELAMATAN DI AKHIR
ZAMAN
HADIS 2: KENAPA DUNIA ISLAM MENJADI SASARAN PEMUSNAHAN
HADIS 3: SELURUH DUNIA DATANG MENGERUMUNI DUNIA ISLAM
HADIS 4: ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG
HADIS 5: UMAT ISLAM MENGIKUTI LANGKAH-LANGKAH YAHUDI
DAN NASRANI
HADIS 6: GOLONGAN ANTI HADITH
HADIS 7: GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG
HADIS 8: PENYAKIT UMAT-UMAT DAHULU
HADIS 9: ISLAM KEMBALI DAGANG
HADIS 10: BAHAYA KEMEWAHAN
HADIS 11: UMAT ISLAM MEMUSNAHKAN ORANG ORANG YAHUDI
HADIS 12: SIFAT AMANAH AKAN HILANG SEDIKIT DEMI SEDIKIT
HADIS 13: ORANG YANG BAIK BERKURANGAN SEDANG YANG
JAHAT BERTAMBAH BANYAK
HADIS 14: DIMANAKAH PUNCA KEBINASAAN SESEORANG
HADIS 15: DUA GOLONGAN YANG AKAN MENJADI PENGHUNI
NERAKA
HADIS 16: ZAMAN DIMANA ORANG TAK PEDULIKAN DARI MANA
MENDAPATKAN HARTA
HADIS 17: HARTA RIBA' WUJUD DI MERATA TEMPAT
HADIS 18: ORANG MEMINUM KHAMAR DAN MENAMAKANNYA
BUKAN KHAMAR
HADIS 19: SEDIKIT LELAKI DAN BANYAK PEREMPUAN
HADIS 20: HAMBA MENJADI TUAN DAN TERBINANYA BANYAK
BANGUNAN YANG MENCAKAR LANGIT
HADIS 21: AHLI IBADAT YANG JAHIL DAN ULAMA YANG FASIQ
HADIS 22: ORANG YANG BERPEGANG DENGAN AGAMANYA
SEPERTI MEMEGANG BARA API
HADIS 23: GOLONGAN RUWAIBIDHAH
HADIS 24: PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN
HADIS 25: MASA AKAN MENJADI SINGKAT
HADIS 26: MUNCULNYA GALIAN-GALIAN BUMI
HADIS 27: TANAH ARAB YANG TANDUS MENJADI LEMBAH YANG SUBUR
HADIS 28: UJIAN DAHSYAT TERHADAP IMAN
HADIS 29: KELEBIHAN IBADAT DISAAT-SAAT HURU HARA
HADIS 30: PEPERANGAN DI KAWASAN SUNGAI FURAT (IRAQ) KERANA
MEREBUT KEKAYAAN
HADIS 31: KETIADAAN IMAM UNTUK SEMBAHYANG BERJEMAAH
HADIS 32: ULAMA TIDAK DIPEDULIKAN
HADIS 33: ISLAM NAMA SAHAJA
HADIS 34: AL QURAN AKAN HILANG DAN ILMU AKAN DIANGKAT
HADIS 35: LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA
HADIS 36: LIMA MAKSIAT YANG DISEGERAKAN BALASANNYA
HADIS 37: BILAKAH AKAN TERJADI KEHANCURAN
HADIS 38: BERMEGAH-MEGAH DENGAN MASJID
HADIS 39: MENGGADAIKAN AGAMA KERANA DUNIA
HADIS 40: GOLONGAN YANG SELAMAT
HADIS 41: LAHIRNYA IMAM MAHADI
HADIS 42: SEPULUH TANDA-TANDA KIAMAT YANG BESAR

HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN______________________________________________________



HADIS 1: TAKWA DAN PERPADUAN ASAS KESELAMATAN DI AKHIR
ZAMAN
Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. berkata, "Telah menasihati kami oleh
Rasulullah saw. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air kami
ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat
yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami." Lalu baginda pun bersabda,
"Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta
taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba.
Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat
perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan
sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui
kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu
dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan,
kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Keterangan:

Hadis diatas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah
saw. bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan
kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini.
Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah
disabdakan oleh Rasulullah saw. dalam hadis, iaitu:

1) Hendaklah ia menlazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan

mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

2) Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun

seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan
Al Quran dan sunnah Nabi saw. dan sunnah-sunnah khulafa Ar Rasyidin, kerana patuh
kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis
Nabi saw.

3) Berpegang teguh kepada sunnah Nabi saw. dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al

Mahdiyin (Abu Bakar, Omar, Osman dan Ali r.a.) yang mana mereka telah mendapat
petunjuk daripada Allah Taala, iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalan ahli
sunnah waljamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang mendapat
jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari
kiamat nanti.

4) Menjauhi perkara-perkara bid'ah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang

ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan
contoh dari agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang
baru itu dikatakan bid'ah menurut pengertian syarak (bukan bid'ah dholalah) tetapi hanya
dinamakan bid'ah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitu bid'ah hasanah).


HADIS 2: KENAPA DUNIA ISLAM MENJADI SASARAN PEMUSNAHAN

Daripada Ummul Mu'minin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah saw.), beliau berkata,

"(Pada suatu hari) Rasulullah saw. masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas
sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan
(malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari
dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini", dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari
yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya
(Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan
dikalangan kami masih ada orang-orang yang shaleh?" Lalu Nabi saw. bersabda: "Ya,
jikalau kejahatan sudah terlalu banyak". (Riwayat Bukhari & Muslim)

Keterangan:
Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau

banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua
orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orangorang yang shaleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari qiamat
akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.
Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan
segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang
bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan
tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.
Dalam hadis di atas, walaupun disebutkan secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang
dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa
Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita saw. sendiri dari kalangan mereka, dan yang
menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari
kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain . Begitu pula halnya dalam
masalah yang berkaitan dengan maju-mundurnya. Umat Islam adalah banyak bergantung
kepada maju-mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam
adalah bahasa Arab.
Kemudian Ya'juj dan Ma'juj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam as.)
yang dahulunya banyak membuat kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah
dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan
campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah
hampir tibanya hari qiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan
keluarlah kedua-dua bangsa ini dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan
dipermukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari qiamat sudah
dekat sekali tibanya.


HADIS 3: SELURUH DUNIA DATANG MENGERUMUNI DUNIA ISLAM

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Hampir tiba suata masa di

mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orangorang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang
sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw. menjawab,
"Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir,
dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan
Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat
bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita nenjawab, "Cinta pada dunia dan
takut pada mati". (Riwayat Abu Daud)

Keterangan:

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Keadaan umat Islam pada hari
ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Umat Islam
walaupun mereka mempunyai bilangan yang banyak, iaitu 1,000 juta (1/5 penduduk
dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa
lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa
dari seluruh dunia walau pun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan
melumpuhkan kekuatannya. Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah
berpunca dari dalam diri kaum muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit “wahan” yang
merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar
dua, iaitu “cinta dunia” dan “takut mati”. Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan.
"Cinta dunia" bermakna tamak, rakus, bakhil danti dak mahu mendermakan harta di jalan
Allah swt. Manakala “takut mati” pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak
membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk
berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah swt. Kita berdoa
agar Allah swt. menurunkan mushrahNya kepada kaum muslimin dan memberikan
kepada mereka kejayaan di dunia dan di akhirat.

HADIS 4
: ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw.

bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu
dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan
mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan
memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang
jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan
menyesatkan orang lain." (Riwayat Muslim)

Keterangan:

Sekarang ini alim-ulama sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita.
Kalau peribahasa Melayu mengatakan, "patah tumbuh, hilang berganti", peribahasa ini
tidak tepat berlaku kepada alim ulama. Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah
berganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari Ulama. Maka
pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan
kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya, alim
ulamalah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi
ini. Maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.
Di ahir-akhir ini kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman
yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. tadi. Di mana bilangan alim ulama hanya tinggal
sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik
pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan
yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Ini lah realiti masyarakat kita di hari
ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.

HADIS 5
: UMAT ISLAM MENGIKUTI LANGKAH-LANGKAH YAHUDI
DAN NASRANI

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda,

"Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi
sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun
kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan
Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka".
(Riwayat Muslim)

Keterangan:

Umat Islam akan mengikut jejak langkah ataupun "carahidup” orang-orang Yahudi dan
Nasrani, hinggalah dalam urusan yang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah.
Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan
sempit sekali pun, orang Islam akan terus mengikuti mereka. Zaman sekarang ini kita
dapat melihat kenyataan sabdaan Rasulullah saw. ini. Ramai orang Islam yang
kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru “carahidup” Yahudi
dan Nasrani samada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap
dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang yang menjadi alat dan tali
barut mereka. Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada mereka.

HADIS 6
: GOLONGAN ANTI HADITH

Daripada Miqdam bin Ma'dikariba r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda,

"Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas
katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka ia
berkata:"Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (Al-Quran) sahaja.Apa yang di
halalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan".
Kemudian Nabi saw. melanjutkan sabdanya, "Padahal apa yang diharamkan oleh
Rasulullah saw. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah swt."
(Riwayat Abu Daud)

Keterangan:

Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah seorang yang mengingkari
kedudukan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas Al-Quran. Ia hanya percaya
kepada Al-Quran sahaja. Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan
tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar dari ikatan Agama Islam dan
pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahani Al-Quran jika tidak merujuk
kepada hadis Nabi saw.. Al-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis
panduan umum. Maka Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan
serta kehendak ayat-ayatnya serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. Oleh
kerana itu, syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan Al-Quran sahaja, tetapi ia
mesti disertai dengan hadis Nabi saw.

HADIS 7
: GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG

Daripada Mughirah bin Syu' bah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda, "Sentiasa di

kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka),sehingga
sampailah suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya".
(Riwayat Bukhari)

Keterangan:

Allah swt. telah menjadikan umat Islam ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu Allah swt.
berjanji akan memelihara kitabnya (Al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi
generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin
dipermukaan bumi ini.
Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga ke
hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan
ujian yang berat-berat. Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan
munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah seterusnya gerakan riddah, Majusi yang
berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani,
serangan bangsa Moghul dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamaddun Baghdad
pada pertengahan abad keenam Hijrah. Begitu pula halnya dengan penyembelihan
beramai-ramai terhadap kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di
Andalus (Sepanyol) dan seterusnya disambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis
Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang
mempunyai alatan dan kemudahan yang banyak dan seterusnya serangan disegi
pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya dan sebagainya. Walaupun ujian yang sangat
dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih
lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia di hari ini.
Walaupun di hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang
agama mereka tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari
agama dan memperjuangkannya. Walau pun ramai di kalangan umat Islam yang telah
hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan
berpekerti luhur. Walaupun syi'ar-syi'ar Islam diinjak-injak di sebahagian tempat tetapi di
tempat lain syi'ar-syi'ar Islam masih lagi gagah dan teguh. Walau pun aktivis-aktivis
Islam ditindas dan diseksa pada suatu tempat tetapi di tempat lain mereka akan disanjung
dan dihormati. Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap dari permukaan bumi
ini hinggalah sampai pada masa yang dikehendaki oleh Allah swt. Maka pada masa itu
Allah swt. akan mematikan semua orang-orang Islam dengan tiupan angin yang
mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal setelah itu hanyalah orang-orang
yang jahat atau orang kafir, maka pada saat itulah akan berlaku hari qiamat.

HADIS 8
: PENYAKIT UMAT-UMAT DAHULU

Dan pada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Umat

ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat
bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi saw. menjawab,
"Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3)
menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia,
(5) saling memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim".
(Riwayat Hakim)

Keterangan:

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah saw. tadi telah banyak kita lihat di
kalangan kaum muslimin di hari ini. Di sana sini kita melihat penyakit ini merebak dan
menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang
sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari
dan menimbun harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka
apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam
cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah
kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya. Marilah kita merenung maksud
hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah!

HADIS 9
: ISLAM KEMBALI DAGANG

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar

dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah
orang-orang yang asing". (Riwayat Muslim)
Keterangan:
Islam mulai tersebar di Mekkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat
sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya.
Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga dianuti oleh dua
pertiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan
dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam
merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam
dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam
dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang
sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu
sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang,
maka tindakan ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak
bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap
sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.
Begitulah seterusnya nasib lslam di akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih dari
masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai
umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam

HADIS 10
: BAHAYA KEMEWAHAN

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah

saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya
kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah
saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana
mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat
dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di
Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan
kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah
keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi
di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan
diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu
sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai
Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini.Kami akan
menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki".
Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada
keadaan kamu di hari itu". (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:

Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad saw. menerangkan bahawa umatnya pada suatu
masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang
pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka
tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan
demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau
semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita
Muhammad saw. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk
kita", ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.
Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadat kepada Allah swt.,
sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi
keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para
sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh
ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan
menghalang dari berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk
menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang
pernah disabdakan oleh Rasulullah saw., "Seandainya seorang anak Adam itu telah
mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua,
sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".
Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun
harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian.
Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat
itu sudah tidak berguna lagi penyesalan. Oleh itu janganlah kita lupa daratan dalam
mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira
waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah
kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah
digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan
suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah
orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini
tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

HADIS 11
: UMAT ISLAM MEMUSNAHKAN ORANG ORANG YAHUDI

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, "Tidaklah akan

berlaku qiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum
Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu
berkata, (Hai orang Islam, inilah orang Yahudi ada dibelakang saya. Kemarilah! Dan
bunuhlah ia!", kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana
sesungguhnya pohon itu adalah dari pohon Yahudi (oleh sebab itulah ia melindunginya)".
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Keterangan:

Hadis ini memberikan harapan yang sangat besar kepada kaum Muslimin dan
menjanjikan kemenangan mereka dalam memerangi orang-orang Yahudi. Jadi walaupun
orang-orang Yahudi merancang dan berusaha sedaya upaya untuk membunuh dan
menyesatkan umat Islam, namun akhirnya kaum Yahudi akan binasa juga di dalam
kepungan umat Islam. Umat Islam akan membunuh dan menghapuskan semua kaum
Yahudi yang ada di permukaan bumi ini dan umat Islam akan ditolong oleh makhlukmakhluk Allah yang lain, sehinggakan batu dan pohon kayu pun akan memberi
penolongan kepada mereka.

HADIS 12
: SIFAT AMANAH AKAN HILANG SEDIKIT DEMI SEDIKIT

Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. katanya, "Rasulullah saw. pernah memberitahu

kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah
saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah saw. memberitahu
bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian
turunlah Al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan Al-Quran
dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah. Selanjutnya Rasulullah saw.
menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, lalu beliau bersabda, "Seseorang
itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian
tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu
diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di
tangan (mengelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak
atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gillingkan dengan kaki mu, kemudian
mengelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa". Ketika
Rasulullah saw. menceritakan hadis ini beliau mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil)
lalu menggilingkannya dengan kakinya.
"Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada
seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya
di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik
memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, "Alangkah tekunnya
dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal
di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji
sawi."
"Maka sesungguhnya telah sampai masanya saya pun tidak memperdulikan manakah di
antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual beli). Jikalau ia seorang
Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikan kepada ku (maksudnya
agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau ia seorang Nasrani atau
Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan menggembalikannya kepada ku
(maksudnya jika dia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang
kekuasaan / pemerintahlah yang dapat menbantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak
ku daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu
semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)".
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Keterangan:
Hadis ini menunjukkan bahawa sifat amanah akan hilang secara beransur-ansur dan
bilangan kaum Muslimin, sehinggalah sampai suatu saat nanti orang yang dianggap baik
untuk menjaga amanat pun telah khianat pula. Begitulah gambaran masyarakat kita hari
ini. Ramai daripada kita terpedaya oleh seseorang yang pada zahirnya boleh memikul
amanah, tetapi sebenarnya ia juga telah berlaku curang.

HADIS 13
: ORANG YANG BAIK BERKURANGAN SEDANG YANG
JAHAT BERTAMBAH BANYAK

Daripada Aisyah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Tidak akan

berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu
bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi
panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang
baik dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani
melawan orang-orang baik". (Riwayat Thabrani)

Keterangan:

Di antara tanda-tanda qiamat ialah:
1) Bila anak-anak merupakan punca kemarahan orang tuanya.
2) Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar.
3) Orang jahat bertambah ramai dan galakan untuk membuat kejahatan sangat banyak.
4) Orang yang berbuat kebaikan sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.
5) Anak-anak sudah berani melawan orang tuanya.
6) Orang-orang yang jahat berani melawan orang-orang yang baik dan tidak segan
terhadap mereka.
Nampaknya corak masyarakat kita pada hari ini tidak banyak bezanya dari apa yang
disebutkan oleh Rasulullah saw. Setiap hari kita melihat kebenaran daripada apa yang
disabdakan oleh Rasulullah saw. Kita berdoa, mudah-mudahan Allah swt.
menyelamatkan kita dan anak cucu kita dari tergolong di kalangan mereka yang
disebutkan tadi.

HADIS 14
: DIMANAKAH PUNCA KEBINASAAN SESEORANG

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda, "Selagi akan datang suatu

masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali bila
ia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu
lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian
(pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang membabitkan
kemurkaan Allah swt. Maka apabila ini telah terjadi, kebinasaan seseorang adalah
berpunca dari menepati kehendak isterinya dan anak-anaknya. Kalau ia tidak mempunyai
isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua
orang tuanya. Dan jikalau orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah
berpunca dari menepati kehendak kaum kerabatnya (adik beradiknya sendiri) atau dari
menepati kehendak jirannya". Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah saw., apakah maksud
perkataan engkau itu ?" (kebinasaan seseorang dari kerana isterinya, atau anaknya, atau
orang tuanya, atau keluarganya, atau jirannya); Nabi saw. menjawab, "Mereka akan
mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan kehidupannya. Maka dari kerana itu
ia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan dirinya dijurang-jurang
kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya". (Riwayat Baihaqi)

Keterangan:

Benar sekali sabdaan Rasulullah saw. ini. Ramai orang yang mengetahui perkara-perkara
yang diharamkan dalam agama tetapi terpaksa juga mereka menceburkan diri ke dalam
lumpur kema'siatan untuk melayan kehendak isteri, anak, orang tuanya, keluarga ataupun
jiran mereka.

HADIS 15
: DUA GOLONGAN YANG AKAN MENJADI PENGHUNI
NERAKA

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda, "Ada dua golongan yang

akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan
(penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk
memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang
lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas
kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak
akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau
wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya".
(Riwayat Muslim)

Keterangan:

Kebenaran sabdaan Rasulullah saw. ini dapat kita lihat dari realiti masyarakat yang ada
pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal-siasat,
bertindak kepada manusia dengan hukum rimba. Dan ramai perempuan-perempuan yang
berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pun
boleh, kerana masih ada secarik kain di atas badan, dan kalau kita hendak katakan
bertelanjang pun boleh, kerana walau pun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain
sahaja, maka samalah dengan bertelanjang. Atau pun ia berpakaian dengan pakaian yang
sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat.
Kemudian berjalan sambil menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar,
seperti gob unta. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk ke dalam syurga dan tidak
akan dapat mencium bau wanginya, walaupun semerbak wanginya telah tercium dari
jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai kepadanya.

HADIS 16
: ZAMAN DIMANA ORANG TAK PEDULIKAN DARI MANA
MENDAPATKAN HARTA

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bersabda Rasulullah saw, "Akan datang suatu zaman

seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber
yang halal atau pun haram". (Riwayat Muslim)
Keterangan:
Di zaman sekarang ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman materialisme,
segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar mencakar untuk
memperolehi sebanyak mungkin harta kekayaan. Mereka tidak memperdulikan dari mana
datangnya harta yang diperolehi, apakah dari sumber yang halal atau dari sumber yang
haram. Yang penting, harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi
kehendak nafsu atau pun untuk melayan kehendak isteri atau anak-anak mereka.

HADIS 17
: HARTA RIBA' WUJUD DI MERATA TEMPAT

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan tiba suatu zaman,

tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak
memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya". (Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:

Hadis sabdaan Rasulullah saw. ini sangat jelas di hadapan mata kita pada hari ini.

HADIS 18
: ORANG MEMINUM KHAMAR DAN MENAMAKANNYA
BUKAN KHAMAR

Daripada Abu Malik Al-Asy'ari r.a. bahawasanya ia mendengar Rasulullah saw.

bersabda, "Sesungguhnya ada sebahagian dari umat ku yang akan meminum khamar dan
mereka menamanya dengan nama yang lain (mereka meminum) sambil dialunkan dengan
bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah swt. akan menenggelamkan mereka ke dalam
bumi (dengan gempa) dan Allah swt. akan merobah mereka menjadi kera atau babi".
(Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:

Maksudnya, akan ada di kalangan orang Islam ini yang meminum khamar dan mereka
mengatakan bahawa yang diminum itu bukanlah khamar. Ia hanyalah sejenis minuman
yang dapat menyegarkan badan atau yang dapat menghilangkan dahaga. Mereka akan
memberikan suatu nama kepada minuman ini yang menunjukkan bahawa ia bukan
khamar, tetapi sebenamya ia adalah khamar yang telah diharamkan oleh syara'.
Kemudian, menjadi kelaziman pula, suasana mabuk itu akan disertai dengan alunan
muzik dan juga nyanyian artis-artis kenamaan. Rasulullah saw. menerangkan bahawa
golongan ini akan ditimpa gempa bumi atau tubuh badan mereka diubah kepada bentuk
kera atau babi. Sangat benar sabdaan Junjungan Besar Nabi saw. ini. Gempa bumi demi
gempa bumi yang berlaku di beberapa tempat di dunia ini sebagai satu seksaan daripada
Allah swt. dan jikalau golongan ini belum sampai keperingkat diubah bentuk badan
mereka menjadi kera dan babi tetapi perangai dan cara hidup mereka sudah banyak
menyerupai perangai dan cara hidup kera dan babi.

HADIS 19
: SEDIKIT LELAKI DAN BANYAK PEREMPUAN

Daripada Anas r.a. berkata, "Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak

ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah saw.
bersabda, "Di antara tanda qiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak
perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang
lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Keterangan:

Nabi kita saw. menerangkan, bahawa diantara tanda hampirnya qiamat ialah sedikit ilmu
agama, banyak kejahilan, banyak berlaku perzinaan, sedikit kaum lelaki dan ramai kaum
perempuan. Statistik penduduk dunia pada hari ini menunjukkan bahawa jumlah kaum
perempuan adalah lebih ramai dari jumlah kaum lelaki. Di sesetengah negara terdapat
nisbah bagi bilangan setiap lelaki berbanding dengan sebelas wanita (1:11). Dan kalau
kita meneliti di merata tempat, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa perempuan
adalah lebih banyak dari lelaki. Menurut Imam Ibnu Hajar, sebab bilangan perempuan
lebih ramai dari kaum lelaki adalah akibat dari peperangan yang berlaku, kerana yang
banyak terbunuh dalam peperangan adalah kaum lelaki, bukannya perempuan dan juga
Allah swt. menghendaki kebanyakan yang lahir di dunia ini adalah perempuan dan
sedikit sekali dari kalangan lelaki.

HADIS 20
: HAMBA MENJADI TUAN DAN TERBINANYA BANYAK
BANGUNAN YANG MENCAKAR LANGIT

Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang),

…………kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah saw., "Maka khabarkan kepada ku
tentang hari qiamat?". Lalu Nabi saw. menjawab, "Orang yang ditanya tiada lebih
mengetahui daripada orang yang bertanya”. Maka Jibrail lalu berkata, "Kalau begitu cuba
khabarkan kepada ku tanda-tandanya", maka Nabi saw. menjawab, "Bahawa hamba akan
melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang
bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk
membuat binaan". (Riwayat Muslim)

Keterangan:

Di antara tanda qiamat ialah, bila hamba melahirkan tuannya. Maksudnya akan banyak
bilangan hamba yang kemudiannya akan digauli oleh tuannya dan melahirkan anak.
Maka anak ini adalah berpangkat ayahnya, iaitu sebagai tuan kepada ibunya sendiri. Ada
juga sebahagian yang memberikan pandangan, bahawa contoh ini alalah merupakan
simbolik kepada suasana yang sudah terbalik, di mana hamba menguasai tuan, bukan
sebaliknya. Jadi pemikiran manusia sudah terbalik, di mana yang baik dikatakan jahat
dan yang sebenarnya jahat dikatakan baik. Tanda kedua pula bilamana orang yang tidak
berkasut, orang miskin yang semestinya ia mendahulukan membeli kasut dari yang lain,
tiba-tiba ia telah mendirikan bangunan yang tinggi yang tentunya terpaksa berhutang
daripada orang lain. Ada pula yang mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan adalah orang
yang miskin pada akhir zaman akan menjadi kaya dengan mengejut sehingga yang pada
waktu kelmarin masih sahaja tidak berkasut , tiba-tiba pada hari ini ia sudah dapat
membuat bangunan yang indah-indah dan sangat mewah.

HADIS 21
: AHLI IBADAT YANG JAHIL DAN ULAMA YANG FASIQ

Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah saw., "Selagi akan ada di akhir zaman

ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq". (Riwayat Ibnu Ady)

Keterangan:

Nabi saw. menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan ini. Ada orang jahil
yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasiq. Sebenarnya syaitan telah
berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. Oleh kerana itu ia menggunakan
beberapa cara yang berlainan kepada orang-orang yang berlainan pula. Bagi si jahil,
syaitan selalu menyuruhnya supaya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil
itu tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah swt. Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin
mengaji kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut
akan diterima oleh Allah swt yang bererti kekalahan di pihak syaitan. Begitu pula halnya
dengan si Alim yang sudah banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat
dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga Si Alim ini meninggalkan
kefardhuannya. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah,
bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari qiamat nanti. Maka itu lah kejayaan
syaitan dalam usahanya. Gejala yang sebegini rupa dapat dilihat di dalam masyarakat
kita, di mana yang rajin beribadat ini adalah orang yang jahil dan yang mengabaikan halhal ibadat ini pula adalah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan.

HADIS 22
: ORANG YANG BERPEGANG DENGAN AGAMANYA
SEPERTI MEMEGANG BARA API

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu

zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara
api”. (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:

Yang dimaksudkan di sini ialah zaman yang sangat mencabar sehingga sesiapa yang
hendak mengamalkan ajaran agamanya ia terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan
yang sangat hebat. Kalau ia tidak bersungguh-sungguh, nescaya agamanya terlepas dari
genggamannya. Ini adalah disebabkan suasana disekelilingnya tidak membantu untuk ia
menunaikan kewajiban agamanya, bahkan apa yang ada disekelilingnya mendorong
untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan
keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. lni juga bermaksud, orang Islam
tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.

HADIS 23
: GOLONGAN RUWAIBIDHAH

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Lagi akan datang kepada

manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang
berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan
disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang
berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"”. Sahabat bertanya, "Apakah
Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan
sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:

Zaman yang disebutkan tadi adalah zaman ketandusan. Tandus di segi material dan juga
tandus di segi pemikiran. Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat
serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberikan
peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina
dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang
dihadapi oleh masyarakat.

HADIS 24
: PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, "Hari qiamat tidak

akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada
keimanan) dan banyak berlaku 'al-Harj'". Sahabat bertanya, "Apakah al-Hajr itu hai
Rasulallah"? Nabi saw. menjawab, "Peperangan demi peperangan demi peperangan".
(Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:

Realiti dunia hari ini membuktikan kebenaan sabda junjungan kita Nabi saw. Harta benda
melimpah ruah. Banyak alat-alat moden yang dihasilkan oleh teknologi Barat dan Timur
sehingga bertambah banyak alatan dan keperluan hidup. Maka oleh kerana itu ramai
orang yang berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan dalam membuat dan
memperdagangkan alat-alat tersebut. Dan oleh kerana masing-masing tamak dan rakus
maka terjadilah perebutan yang mengakibat berlakunya peperangan demi peperangan.
Dari semasa ke semasa peperangan berkobar dengan tiada henti-hentinya. Padam di suatu
tempat menyala pula ditempat yang lain. Satu sama lain saling cakar mencakari. Semakin
maju teknologi, semakin terseksa manusia kerananya. Sebenarnya teknologi tidaklah
bercanggah dengan Islam, tetapi ia mestilah tunduk kepada etika kemanusiaan yang
didukung oleh Islam itu sendiri. Sedangkan teknologi yang ditaja oleh dunia barat hari ini
adalah berdasarkan kepada kepentingan peribadi dan mengikut telunjuk hawa nafsu yang
rakus sehingga teknologi itu digunakan untuk menghancurkan nilai-nilai kemanusian itu
sendiri. Nampaknya, begitulah keadaan yang berlaku dari umur dunia ini, sehinggalah
sampailah ketitik akhirnya, iaitu qiamat.

HADIS 25
: MASA AKAN MENJADI SINGKAT

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Tidak akan terjadi

qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan
sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari
dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".
(Riwayat Tirmizi)

Keterangan:

Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah
terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan
sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu
dengan tiada ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan
singkatnya masa. Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya
masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya. Memang benar apa yang dikatakan oleh
Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat
kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara
yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda hampirnya qiamat.

HADIS 26
: MUNCULNYA GALIAN-GALIAN BUMI

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah saw.

sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu
telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat
berkata: "Hai Rasulullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita". Lalu Nabi saw.
menjawab, "Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan
menguruskannya adalah orang-orang yang jahat". (Riwayat Baihaqi)

Keterangan:

Tepat sekali apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw. sejak limabelas abad yang
lalu. Hari ini dunia Islam sangat kaya dengan galian bumi, seperti emas, perak, timah,
petrol dan lain-lain, tetapi yang menguruskan dan yang menguasainya adalah orangorang yang bukan Islam. Ini adalah suatu realiti yang sangat jelas di mata kita dan
merupakan salah satu di antara petanda hampirnya hari qiamat.

HADIS 27
: TANAH ARAB YANG TANDUS MENJADI LEMBAH YANG
SUBUR

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw.; "Tidak akan terjadi

qiamat sehinggalah Tanah Arab (yang tandus itu) menjadi lembah yang subur dan dialiri
sungai-sungai". (Riwayat Muslim)

Keterangan:

Sekarang kita telab mula menyaksikan kebenaran sabdaan junjungan kita ini. Kita banyak
melihat tanah Arab yang dahulunya tandus dan kering kontang tetapi sekarang telah
mulai menghijau dan ditumbuhi rumput-rumput dan pohon-pohon kayu. Contohnya,
Padang Arafah yang ada di Makkah al-Mukarramah yang dahulunya hanya dikenali
sebagai padang yang tandus dan tidak ada pohon kayu. Sekarang ini Padang Arafah
dipenuhi pohon-pohon kayu, sehingga kelihatan menghijau dan kita dapat berteduh di
bawah naungannya. Keadaan ini walaupun menyejukkan mata memandang namun ia
mengurangkan gambaran suasana padang Mahsyar, tempat berhimpunnya seluruh
makhluk pada hari qiamat nanti yang merupakan tujuan utama dan pelajaran penting
yang diambil dari suasana wuquf jamaah Haji di Padang Arafah pada setiap 9 Zulhijjah
tahun Hijriyah.

HADIS 28
: UJIAN DAHSYAT TERHADAP IMAN

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda; "Bersegeralah kamu

beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang
sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian pada waktu petang
dia sudah menjadi kafir, atau (Syak Perawi Hadis) seseorang yang masih beriman di
waktu petang, kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual
agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia." (Riwayat Muslim)

Keterangan:

Hadis ini menerangkan kepada kita betapa dahsyat dan hebatnya ujiaan terhadap iman
seseorang diakhir zaman. Seseorang yang beriman di waktu pagi, tiba-tiba dia menjadi
kafir diwaktu petang. Begitu pula dengan seseorang yang masih beriman di waktu petang,
tiba-tiba pada esok paginya telah menjadi kafir. Begitu pantas dan cepat perubahan yang
berlaku. Iman yang begitu mahal boleh gugur di dalam godaan satu malam atau satu hari
sahaja, sehingga ramai orang yang menggadaikan imannya kerana hanya hendak
mendapatkan sedikit dari harta benda dunia. Dunia lebih dicintai di sisi mereka daripada
iman. Dan menurut riwayat Ibnu Majah, beliau menambahkan, "kecuali orang yang
hatinya dihidupkan Allah swt. dengan ilmu". Mudah-mudahan Allah swt. menjadikan
kita di antara orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya, sehingga dengan itu Allah
Swt. akan menyelamatkan iman kita dari ujian yang dahsyat ini.

HADIS 29
: KELEBIHAN IBADAT DISAAT-SAAT HURU HARA

Daripada Ma’qil bin Yasar ra. berkata Rasulullah bersabda: "Beribadat di saat-saat huru

hara (dunia kacau bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku". (Riwayat Muslim)

Keterangan:

Orang yang mampu beribadat dan menunaikan kewajipan agamanya di saat-saat yang
penuh dengan huru hara dan gangguan dari segenap penjuru, dan mampu mengingati
Allah swt. di saat-saat orang lain lupa dan di sibukkan dengan perkara-perkara yang
melalaikan. Mereka akan diberikan pahala seperti pahala hijrah yang telah dilakukan oleh
kaum Muhajirin di zaman Rasulullah saw. Mudah-mudahan kita termasuk di kalangan
mereka yang mampu beribadat walaupun di dalam keadaan dan suasana yang sangat
menyibukkan, dan mudah-mudahan kita mendapatkan pahala besar yang telah dijanjikan
oleh Rasulullah saw. tadi.

HADIS 30
: PEPERANGAN DI KAWASAN SUNGAI FURAT (IRAQ)
KERANA MEREBUT KEKAYAAN

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah saw. bersabda; 'Tidak terjadi hari

qiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di lraq)
menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang
yang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada
seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata, "mudahmudahan akulah orang yang terselamat itu". Di dalam riwayat lain ada disebutkan;
"Sudah dekat suata masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak
perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadhir di situ janganlah ia
mengambil sesuatu pun daripada harta itu". (Riwayat Bukhari & Muslim)
Keterangan:
Hadis ini jelas sekali menerangkan bahawa di kawasan Iraq dan disekitarnya akan
berkobar peperangan yang berpunca dari merebutkan kekayaan yang ada di sana dan
ramai yang terkorban dan masing-masing pihak bercita-cita seandainya merekalah yang
terselamat.

HADIS 31
: KETIADAAN IMAM UNTUK SEMBAHYANG BERJEMAAH

Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda;

"Lagi akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak
dapat memulakan sembahyang berjamaah kerana tidak mendapatkan orang yang boleh
menjadi imam". (Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:

Walau pun secara pastinya pada hari ini kita belum lagi sampai ke peringkat apa yang
telah disabdakan oleh Rasulullah saw. tadi, namun masyarakat kita sekarang ini sudah
menghala ke sana. Banyak kampung-kampung yang tidak mempunyai Tok Imam yang
benar-benar mampu melaksanakan peranan Imam yang sebenar. Kelihatannya,
masyarakat kita kekurangan kepada ilmu-ilmu syari'at. Mereka yang berilmu pula ramai
yang tidak menghadiri sembahyang berjemaah, maka tinggallah orang-orang yang jahil.
Maka apabila hal ini berpanjangan, pasti pada suatu hari nanti akan sampai juga ke
peringkat keadaan yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. tadi.

HADIS 32
: ULAMA TIDAK DIPEDULIKAN

Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Ya Allah! Jangan

kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa
di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak
disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti
lidah orang Arab (pada fasihnya)." (Riwayat Ahmad)

Keterangan:

Mungkin zaman sekarang ini sudah mendekati keadaan yang telah digambarkan oleh
Rasulullah saw. ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulama. Mereka takut
mendekati para ulama, kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan
lagi membuat maksiat walau pun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Terkadang,
sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para Ulama untuk menyatakan rasa ego
dan sekaligus untuk menyinggung perasaan mereka. Golongan ini juga pandai bercakap
dan sering memutarbelitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat
orang lain pada hal hati mereka adalah hati harimau yang bersedia untuk menerkam dan
memangsa musuhnya.

HADIS 33
: ISLAM NAMA SAHAJA

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; "Sudah hampir

sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya,
dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka
tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat
makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan
kepada mereka fitnah ini akan kembali". (Riwayat Baihaqi)

Keterangan:

Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari
gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. ini. Kalau belum sampai pun, ianya
sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' yang
menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi
tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa.

HADIS 34
: AL QURAN AKAN HILANG DAN ILMU AKAN DIANGKAT

Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Islam akan

luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai),
sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan
dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang
dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan AlQuran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya)
tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang
tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, lakilaki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek
moyang kami memperkatakan kalimat "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya
juga". Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), "Apa yang dapat dibuat
oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka
sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan
sedekah"? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya).
Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan
mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga
akhirnya Huzaifah menjawab, "Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api
neraka" (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali). (Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:

Hadis di atas tadi menerangkan kepada kita bahawa pada suatu masa nanti:
1. Ilmu tentang Islam akan diangkat.
2. Al-Quran juga akan diangkat daripada permukaan bumi ini.
3. Orang ramai hanyalah mengenali beberapa istilah Islam, tetapi mereka tidak
memahami apa yang dimaksudkan dengan istilah-istilah itu.
4. Begitu pula mereka hanya sekadar mampu mengucapkan kalimat "Lailaha illallah",
tetapi mereka tidak memahami apa tuntutan kalimat suci itu terhadap mereka.
Walau bagaimana pun Allah swt. dengan belas kasihannya masih menghargai keimanan
mereka yang sedikit itu dan akan memasukkan mereka ke dalam syurga.

HADIS 35
: LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN
BALA

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: “Apabila umat ku telah

membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:
1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
3. Zakat dijadikan hutang.
4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
5. Anak derhaka terhadap ibunya,
6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan.
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun
mereka akan dirobah menjadi makhluk lain". (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:

Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. ini,
cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.

HADIS 36
: LIMA MAKSIAT YANG DISEGERAKAN BALASANNYA

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah saw. kepada kami (pada suatu

hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah
dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi
kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu.
Perkara-perkara itu ialah:
1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus
terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak
di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah
menimpa umat-umat yang telah lalu.
2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan
dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan
pepimpin mereka.
3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air
hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini)
tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.
4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan
menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian
daripada apa yang ada di tangan mereka.
5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang
terkandung dalam Al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di
saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ".
(Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:

Hadis di atas menerangkan bahawa:
1. Penyakit Thaun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan.
2. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat
yang mengurangkan sukatan dan timbangan.
3. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak megeluarkan zakat.
4. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum
Muslimin (sepeti hilangnya Tanah Pelastin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca
daripada mereka mengkhianati janji-ianji mereka kepada Allah swt.
5. Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalab berpunca daripada
mengenepikan hukum-hukum Allah swt. dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai
undang-undang di dalam kehidupan.

HADIS 37
: BILAKAH AKAN TERJADI KEHANCURAN

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Pada suatu masa ketika Nabi saw. sedang berada

dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang
seorang A'rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw., "Bilakah akan
terjadi hari qiamat?". Maka Nabi saw. pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian
yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu
tidak disukainya". Sementara yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak mendengar
pertanyaan itu". Sehingga apabila Nabi saw. selesai dari percakapannya beliau bersabda,
"Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?" Lalu Arab Badwi itu menyahut,
"Ya! Saya hai Rasulullah". Maka Nabi saw. bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan
maka tunggulah hari qiamat". Arab Badwi ini bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan
dengan mensia-siakan amanah itu"? Nabi saw. menjawab, "Apabila urusan diserahkan
kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat". (Riwayat Bukhari)

Keterangan:

Pada hari ini banyak urusan telah diserahkan kepada yang bukan ahlinya, sedangkan
orang yang layak untuk menjalankan urusan tersebut tidak diberi peluang yang
sewajarnya. Ini bermakna saat kehancuran tidak lama lagi akan terjadi.
HADIS 38: BERMEGAH-MEGAH DENGAN MASJID
Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak berlaku (terjadi)
hari qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid".
(Riwayat Abu Daud)

Keterangan:

Di antara tanda hampirnya hari qiamat, ialah umat Islam berbangga dan bermegah-megah
dengan masjid yang mereka bina. Masing-masing negara berbangga dan merasa megah
dengan bangunan masjid. Perhatian mereka hanya kepada keindahan masjid sahaja, tidak
kepada pengisian masjid dengan ibadat dan solat berjamaah. Banyak masjid-masjid yang
indah, besar dan cantik, tetapi yang datang bersembahyang di dalamnya hanya segelintir
manusia sahaja.

HADIS 39
: MENGGADAIKAN AGAMA KERANA DUNIA

Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah saw. hersabda; "Akan timbul di akhir

zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka
menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpurapura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka
lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuantujuan yang jahat). Allah swt. Berfirman kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan
kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi
kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di
kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( cendikiawan ) pun akan menjadi
bingung (dengan sebab fitnah itu)". (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:

Golongan yang dimaksudkan di dalam Hadis ini ialah orang-orang yang menjadikan
agama sebagai alat untuk mendapat keuntungan dunia. Mereka rela menggadaikan agama
untuk meraih keuntungan dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan
hukum syarak mereka berani mengubah hukum Allah dan memutarbelitkan kenyataan.
Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasan-alasan yang
memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya semata-mata
timbul dari kelicinan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan
juga menipu diri mereka sendiri. Mereka akan dilanda kekusutan pemikiran yang sangat
tajam sehingga orang alim yang banyak pengalaman pun akan kehabisan akal dan buah
fikiran. Mereka menghadapi masalah-masalah yang meruncing dan akan menemui jalan
buntu dalam permasalahan yang dihadapi.

HADIS 40
: GOLONGAN YANG SELAMAT

Daripada 'Auf bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Umat Yahudi telah

berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja
yang masuk syurga dan yang tujuh puluh lagi akan masuk neraka. Umat Nasrani telah
berpecah-belah menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan
masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diri
ku di dalam kekuasaannya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga
golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan
masuk neraka. Sahabat bertanya, mana yang selamat"? Nabi saw. menjawab, "Mereka
adalah jamaah". (Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah). (Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:

Yang di maksudkan dengan jamaah yang selamat ini ialah golongan yang tetap
berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dan juga dengan pendirian sahabatsababat dan salafus-shaleh, atan pun yang diistilahkan oleh para ulama dengan golongan
"Ahlus Sunnah wal Jamaah". Selain dari golongan ini adalah sesat dan akan menjadi
penghuni neraka.

HADIS 41
: LAHIRNYA IMAM MAHADI

Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Dunia tidak akan

hilang (qiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada
keluarga ku (keturunan ku) yang namanya sama dengan namaku". (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawasanya dunia ini tidak akan qiamat sehinggalah
bangsa Arab dan juga bangsa Ajam dikuasai oleh seorang lelaki keturunan Rasulullah
saw., iaitu Imam Mahdi. Ia akan melaksanakan keadilan di permukaan bumi ini dan akan
diikuti oleh seluruh kaum muslimin. Ia akan memerintah selama tujuh tahun. Kemudian
keluarlah Dajal dan turun pula Nabi Isa 'alaihis salam, dan Nabi Isalah yang akan
membunuh Dajjal itu. Menurut kebanyakan ulama, Imam Mahdi akan lahir disaat umat
Islam berpecah-belah dan dimasa pemerintahannya semua umat Islam akan bersatu dan
berjaya menundukkan seluruh bangsa yang ada di dunia ini dibawah kekuasaan Islam.

HADIS 42
: SEPULUH TANDA-TANDA KIAMAT YANG BESAR

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw.

dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang
kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat".
Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat
sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap,
Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam
alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan
yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah
negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".
(Riwayat Muslim)

Keterangan:

Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini adalah
tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat.
Sepuluh tanda itu ialah:
1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di
kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan
ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap
bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.
4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak
lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
5. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung
pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan
segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh
Dajjal.
6. Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi
ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur
tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya
pada zaman dahulu.
7. Gempa bumi di Timur.
8. Gempa bumi di Barat.
9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan
bermula dari arah negeri Yaman.
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau
mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadishadis Rasulullah Saw. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petandapetanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini.
Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah belian turun
dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan
tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana
kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dahsyat itu.
Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari
pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.
Saidina Umar al-Khathab r.a. berkata, "Hitung-hitunglah dirimu sendiri sebelum kamu
dihitung, dan timbang-timbanglah dirimu terlebih dahulu sebelum kamu ditimbang, dan
bersiap-siaplah untuk menghadapi alam terbuka yang besar (Padang Mahsyar)."







Wallahu a'lam bish-shawab.





No comments: